Kamek blogger Sarawak WELCOME TO MY BLOG, Kamek Blogger Sarawak
Share |

Dua pekerja ladang lupus bukti pembunuhan

SHAH ALAM: Dua pekerja ladang yang sebelum ini dipenjara tujuh tahun kerana melupuskan bahan bukti kes pembunuhan kejam jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain, terpaksa merengkuk lebih lama apabila Mahkamah Tinggi di sini, semalam, meminda tempoh hukuman itu menjadi 20 tahun.
Keputusan Hakim Datuk Mohtarudin Baki meminda hukuman ke atas kedua-dua tertuduh, K Sarawanan, 20, dan U Suresh, 27, disambut gembira anak sulung Sosilawati, Erni Dekritawati Yuliana Buhari, 26, yang menganggapnya sebagai kemenangan dalam mendapat pembelaan terhadap kematian ibunya.
Erni Dekritawati atau lebih dikenali dengan panggilan Rita, berkata keputusan itu jelas menggambarkan keprihatinan mahkamah terhadap derita dan gangguan emosi yang ditanggung ahli keluarga semua mangsa termasuk beliau dan lima adiknya.

“Sebelum ini, tempoh hukuman tujuh tahun yang dikenakan terhadap kedua-dua suspek amat mengejutkan. Memang kami semua kecewa ketika itu, namun apa yang berlaku hari ini (semalam) satu berita yang menggembirakan serta kami anggap sebagai satu kemenangan,” katanya ketika dihubungi Berita Harian.

Rita yang juga Pengarah Urusan Nouvelle Visages, turut mengesahkan kereta mewah BMW X5 yang digunakan ibunya pada hari mangsa dilaporkan hilang, sudah diserahkan kepada keluarganya petang semalam selepas siasatan ke atas bahan bukti itu selesai.

Terdahulu, Mohtarudin pada prosiding rayuan dan semakan hukuman asal yang dijatuhkan terhadap kedua-dua tertuduh oleh Mahkamah Majistret Telok Datok, Banting, pada 15 Oktober lalu, berpendapat kesalahan itu sangat serius.
Kedua-dua tertuduh dihukum penjara tujuh tahun oleh Majistret Hurmain Hussain selepas mereka mengaku bersalah atas empat tuduhan mengangkat, membakar dan membuang abu mayat Sosilawati, 47, pegawai bank Norhisham Mohammad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44.

Hurmain memerintahkan hukuman penjara terhadap kedua-dua tertuduh berjalan serentak berkuat kuasa dari tarikh mereka ditangkap pada 9 September tahun lalu.

Sarawanan didakwa melakukan kesalahan itu di Lot 2001 Jalan Tanjung Layang Tanjung Sepat, Banting pada 30 Ogos tahun lalu, manakala Suresh didakwa melakukan kesalahan itu di Sungai Panchau, Jalan Morib, Banting pada 31 Ogos tahun lalu.

Sarawanan kemudian memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi di sini terhadap sabitan dan hukuman ke atasnya. Pada masa sama, Mahkamah Tinggi menggunakan kuasa di bawah Seksyen 323 Kanun Prosedur Jenayah untuk menyemak keputusan yang dibuat oleh Hurmain.

Dalam penghakimannya, Mohtarudin berkata, beliau menolak rayuan Sarawanan yang mendakwa bahawa pengakuan salahnya itu tidak dibuat secara sukarela dan berlaku paksaan untuk beliau berbuat demikian.

“Perlu diingat prosiding yang dijalankan oleh majistret adalah perbicaraan terus di bawah Seksyen 173 Kanun Acara Jenayah di mana kedua-dua tertuduh sudah mengaku bersalah serta faham sifat dan akibat pengakuan,” katanya.

Mohtarudin berkata, hujahan peguam berhubung jurubahasa Tamil yang tidak menerangkan pertuduhan, sifat dan akibat pengakuan serta fakta kes juga dianggap remeh.

Beliau berkata, jurubahasa Tamil adalah kakitangan mahkamah serta berkelayakan dan tiada aduan ketika prosiding di Mahkamah Majistret berhubung jurubahasa berkenaan tidak dapat menguasai bahasa Tamil dan sebagainya.

Mengenai hujahan bahawa peguam yang mewakili Sarawanan dan Suresh tidak dilantik oleh kedua-dua tertuduh, Mohtarudin berkata, ia tidak dibantah oleh mereka ketika prosiding di Mahkamah Majistret.

Mohtarudin juga berkata, sebahagian tohmahan dalam afidavit yang difailkan agak keterlaluan, seperti terhadap jurubahasa dan peguam, apatah lagi terhadap majistret yang menjalankan kuasa di bawah undang-undang yang bersesuaian dengan Seksyen 114 (e) Akta Keterangan 1950.

“Saya tidak bersedia untuk merobohkan benteng yang akan menyebabkan penyalahgunaan proses undang-undang, kecuali salah laksana keadilan dibuktikan.

“Dengan itu saya menolak rayuan terhadap sabitan dan juga tidak mendapati apa-apa tindakan yang menyalahi undang-undang, perbuatan yang salah atau tidak betul dalam rekod prosiding oleh majistret serta tiada salah laksana keadilan berlaku,” katanya.

Selain itu, Mohtarudin berkata, kedua-dua tertuduh dihukum penjara tujuh tahun bagi setiap pertuduhan dan berjalan serentak, iaitu hukuman maksimum di bawah Seksyen 201 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, mengikut Seksyen 87(1) Akta Mahkamah Rendah 1948, kuasa majistret dalam menjatuhkan hukuman ialah maksimum lima tahun saja, tetapi majistret dalam kes itu telah mengguna pakai kuasa di bawah Seksyen 87(2) akta sama di mana beliau mungkin menjatuhkan hukuman maksimum berdasarkan rekod kesalahan lampau atau kesalahan tertuduh sebelum ini (antecedents).

“Kedua-dua tertuduh tiada rekod kesalahan lampau dan majistret mengambil kira antecedents kedua-dua tertuduh, iaitu mereka telah melakukan empat kesalahan.

“Saya bersetuju dengan peguam tertuduh bahawa antecedents bererti perkataan sebelum kesalahan yang dipertuduhkan. Jika dilihat pertuduhan itu sendiri, masa dan tempat adalah sama.

“Kedua-dua tertuduh mengaku bersalah atas empat pertuduhan bukan satu pertuduhan dan meminta tiga pertuduhan lain dipertimbangkan. Adalah jelas majistret terkhilaf dalam perkara ini,” katanya.

Sehubungan itu, Mohtarudin berkata, beliau membenarkan rayuan dan menjalankan kuasa semakan dengan menggantikan hukuman penjara tujuh tahun kepada lima tahun bagi setiap pertuduhan bagi kedua-dua tertuduh.

“Hukuman penjara lima tahun adalah jelas tidak memadai kerana kes ini amat mengejutkan di mana empat orang dibunuh dalam satu kejadian dan ia adalah kesalahan paling serius.

“Dengan itu bagi menjalankan kuasa semakan di bawah Seksyen 325 Kanun Acara Jenayah, saya memerintahkan hukuman penjara lima tahun bagi setiap pertuduhan dan setiap tertuduh hendaklah berjalan berturutan berkuat kuasa dari tarikh tangkapan,” katanya.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusof, Saiful Edris Zainuddin dan Idham Abd Ghani, manakala Suresh diwakili peguam A S Dhaliwal dan Datuk Harpal Grewal. Dhaliwal juga turut mewakili Sarawanan.

Dhaliwal ketika ditemui pemberita selepas prosiding berakhir berkata, pihaknya akan memfailkan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi.

No comments:

Post a Comment

Followers