Kamek blogger Sarawak WELCOME TO MY BLOG, Kamek Blogger Sarawak
Share |

Hotel Pasar Minggu Satok

'Hotel' Pasar Minggu Satok


AUGUSTINE Rabui hanya berselimut ketika bermalam di tapak pasar bagi meneruskan aktiviti perniagaan pada keesokan harinya di Pasar Minggu Satok, Kuching, Sarawak, baru-baru ini.


KUCHING 14 Feb. - Apabila bercerita tentang Pasar Minggu Satok di sini, perkara pertama yang terlintas di fikiran kita sudah pasti keadaan di pasar tersebut yang sentiasa sesak dengan orang ramai.

Suasana hingar-bingar dengan jerit-pekik suara peniaga yang menjaja barang jualan mereka, di selang-seli suara tawar-menawar pembeli adalah nadi menghidupkan pasar yang beroperasi dua hari berturut-turut setiap hujung minggu.

Kesibukan itu bagaimanapun tidak lama kerana menjelang tengah malam Sabtu, orang ramai mula bersurai meninggalkan peniaga bersama gerai dan barang jualan masing-masing yang belum terjual.

Ketika itu, orang ramai mungkin menganggap pasar yang menjadi salah satu tarikan utama di bandar raya Kuching itu 'mati' buat sementara waktu sebelum dihidupkan kembali melalui aktiviti perniagaan yang disambung semula keesokan harinya.

Namun, hakikatnya tidak begitu, pasar tersebut sebenarnya masih bernafas seperti biasa apabila sekumpulan peniaga memilih untuk bermalam di situ biarpun hanya beralaskan surat khabar atau kepingan kotak bagi memastikan peniagaan berjalan lancar sebaik sahaja matahari menjelma pada pagi Ahad.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, peniaga berkenaan tidak kisah untuk berbaring di kaki lima atau tapak perniagaan masing-masing sementara menunggu hari siang.

Seorang peniaga, Siti Mayo, 49, berkata, bermalam di Pasar Minggu Satok merupakan rutin mingguan dia dan ibunya, Yau Murong, 75, yang berniaga hasil hutan di situ sejak berpuluh tahun lalu.

"Keluarga saya berniaga secara kecil-kecilan di sini sejak mendiang nenek saya masih hidup.

"Perniagaan ini diturunkan kepada ibu saya dan kini saya mengambil alihnya kerana dia sudah tua serta tidak mampu membuat kerja berat.

"Bagi kami, tidur berbantal lengan dan beralaskan tikar mengkuang atau surat khabar perkara biasa. Yang penting, kena pastikan ada kelambu kerana nyamuk sangat banyak di sini," katanya.

Tatkala ditanya mengapa tidak pulang sahaja dan datang keesokan harinya, wajahnya berubah menjadi sedikit muram lalu berkata, perkara itu tidak mungkin berlaku walaupun jarak dari pasar tersebut ke rumah panjangnya hanya memakan masa lebih kurang sejam.

Jelasnya, kebanyakan peniaga hasil hutan di Pasar Minggu Satok ialah orang Bidayuh yang datang dari kawasan luar bandar seperti Kampung Annah Rais dan Kampung Benuk di Padawan.

"Dari rumah panjang ke sini, kami terpaksa menumpang lori dengan bayaran RM17 setiap seorang tidak termasuk barang jualan yang dicaj sebanyak RM3 setiap satu bakul.

"Bayaran tersebut sudah cukup mahal bagi kami, jadi dengan hasil jualan yang tidak seberapa, mana mungkin kami mampu membayar lebih daripada itu.

"Sebab itulah rata-rata peniaga Bidayuh memilih untuk bermalam di sini setiap Sabtu supaya kami dapat meneruskan perniagaan pada awal pagi Ahad. Pendek kata, tapak Pasar Minggu Satok ini ibarat hotel bagi kami," katanya.

Sementara itu, seorang peniaga pisang, Augustine Rabui, 67, berkata, kebanyakan orang Bidayuh dari rumah panjang di Kampung Benuk mempunyai pengalaman bermalam di tapak pasar tersebut.

"Hampir semua penduduk di kampung saya memilih untuk menjual hasil hutan dan tanaman desa di Pasar Minggu Satok kerana pendapatan yang diperoleh lebih lumayan berbanding tempat lain, di samping sewa tapak perniagaan hanya RM10 sebulan.

"Kami juga mengambil kesempatan untuk membawa anak-anak dan cucu datang ke mari supaya mereka dapat belajar berniaga, di samping berjalan-jalan melihat bandar," katanya.

Katanya, dia memperolehi pendapatan sekitar RM200 hingga RM300 seminggu hasil jualan pasang di situ.

Seorang lagi peniaga pisang, Panuk Rakub, 36, berkata, pengalaman bermalam di Pasar Minggu Satok bukanlah perkara yang menyeronokkan kerana selain terpaksa berhadapan dengan kedinginan malam, gigitan nyamuk, gangguan anjing liar dan mereka terdedah kepada risiko dirompak.

Katanya, beberapa tahun lalu, peniaga yang bermalam di situ kerap berhadapan dengan masalah kecurian yang dilakukan oleh segelintir pihak yang tidak bertimbang rasa.

"Sudahlah wang hasil jualan dicuri ketika kami sedang tidur, barang-barang jualan terutama buah-buahan seperti pisang turut diambil mereka.

"Tetapi sejak kebelakangan ini, keselamatan kami lebih terjamin kerana pihak berkuasa ada melakukan rondaan dari semasa ke semasa," katanya.

Menurutnya, dia berniaga di situ bersama ibunya, Nawiang Rangit, 50, sejak 20 tahun lalu.

Tambah Panuk, dia dan rakannya di situ turut mengambil langkah berjaga-jaga dengan menyimpan wang di tempat selamat serta berwaspada mengawasi gerak-geri orang lalu-lalang di kawasan itu.

Perbualannya dengan penulis terhenti seketika apabila seorang pemuda singgah membelek-belek sesikat pisang madu milik peniaga bersebelahan.

Beliau meminta izin untuk beredar dan cepat-cepat mendekati lelaki yang berminat membeli pisang tersebut.

Sebaik sahaja selesai berurusan, Rakub menjelaskan kepada penulis pemilik petak niaga di sebelahnya itu sudah dibuai mimpi kerana kepenatan, jadi dia mengambil keputusan untuk membantu menjual pisang tersebut kepada pelanggan tadi.

"Di sini, kami ibarat satu keluarga. Kalau ada rakan yang ingin berehat atau ke tandas, kami ambil alih perniagaan dan membantu melayan pelanggan yang ingin membeli barang jualannya.

"Biasanya lewat malam begini, sudah tidak ada pelanggan, tetapi jika ada yang ingin membeli, kami terima dengan hati terbuka.

"Selain itu, ada juga seorang dua yang berjaga secara bergilir-gilir untuk meninjau keadaan. Kalau ada perkara yang tidak kena, mereka akan cepat-cepat kejutkan yang lain," katanya.

No comments:

Post a Comment

Followers