Kamek blogger Sarawak WELCOME TO MY BLOG, Kamek Blogger Sarawak
Share |

Pelajar Sarawak di Mesir dipantau

SAMARAHAN 7 Feb. - Kerajaan negeri akan terus memantau keadaan pelajar Sarawak yang menuntut di Mesir dari semasa ke semasa termasuk terlibat secara langsung dalam usaha membawa mereka pulang ke tanah air secara berperingkat secepat mungkin.

Menteri di Pejabat Ketua Menteri, Datuk Daud Abdul Rahman berkata, pihaknya mengenal pasti kesemua 67 pelajar Sarawak yang menuntut di negara tersebut dalam pelbagai jurusan termasuk bidang pengajian Islam, perubatan dan pergigian.

"Setakat ini, 33 pelajar selamat tiba di Malaysia sama ada menerusi penerbangan pembiayaan sendiri dan juga penerbangan bantuan.

"Sementara itu, baki 34 pelajar masih di sana dengan 31 daripadanya sudah selamat tiba di Jeddah dan berangkat pulang bila-bila masa sahaja sama ada hari ini atau besok.

"Selain itu, saya difahamkan tiga orang lagi memilih untuk menetap di Mesir kerana ingin meneruskan pengajian. Jadi, kita tidak dapat paksa mereka untuk pulang," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa penganjur Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Sarawak, di sini hari ini.

Sementara itu, menjadi saksi kejadian rusuhan terburuk di Mesir merupakan pengalaman yang tidak mungkin dilupakan salah seorang pelajar Sarawak yang menuntut di negara itu, Dayang Nabeela Abang Mohd. Khalid.

Menurut gadis berusia 22 tahun itu, saat-saat mencemaskan bermula apabila beliau mendengar bunyi tembakan bertalu-talu di luar rumahnya selepas solat Maghrib lewat petang, 30 Januari lalu.

Katanya, bunyi tembakan tersebut diiringi suara orang ramai menjerit dan pada masa sama, keadaan bertukar menjadi hingar-bingar di sekitar kediamannya di bandar Mansoura.

"Sebaik sahaja mendengar bunyi tembakan dan jerit pekik orang ramai, saya dan rakan lain hanya saling berpandangan dan tidak ada seorang pun mampu bersuara.

"Kami cepat-cepat padamkan semua lampu bagi mengelak kejadian yang tidak diingini, manakala salah seorang daripada rakan saya memberanikan diri menjenguk keluar tingkap untuk melihat keadaan sekeliling," katanya.

Menurut pelajar tahun tiga jurusan Perubatan Universiti Mansoura itu, sebaik sahaja keadaan bertukar menjadi tegang, perintah berkurung berkuat kuasa serta merta.

"Saya begitu tertekan dengan keadaan ketika itu kerana menyukarkan pergerakan kami termasuk untuk keluar membeli makanan dan barang-barang keperluan lain," katanya.

Dia tiba di ibu negara 4 Februari lalu dengan menggunakan pesawat Fly Emirates.

Sementara itu, rakannya, Ahmed Hatimi Rashidi, 21, berkata, keadaan menjadi semakin sukar apabila semua premis di sekitar bandar Mansoura ditutup ekoran rusuhan yang semakin menjadi-jadi.

"Memandangkan keadaan semakin tegang, saya mengambil keputusan untuk pulang ke tanah air dengan bantuan ibu seorang rakan yang menempah tiket pesawat Gulf Air," katanya.

Dayang Nabeela dan Ahmad Hatimi merupakan antara pelajar terawal yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 3 dan 4 Februari lalu menggunakan perbelanjaan sendiri.


utusansarawak@utusan.com.my

No comments:

Post a Comment

Followers