Kamek blogger Sarawak WELCOME TO MY BLOG, Kamek Blogger Sarawak
Share |

Mahkamah tolak tuntutan Malaysiakini

KUALA LUMPUR 17 Mac – Kes saman fitnah Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud terhadap portal berita propembangkang Malaysiakini akan diteruskan dengan perbicaraan penuh setelah Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan penerbit portal berita di Internet itu untuk membatalkan tuntutan tersebut.

Hakim Datuk John Louis O’Hara memutuskan demikian setelah mendapati bahawa hujah yang dikemukakan oleh Mkini Dotcom Sdn. Bhd. (Mkini Dotcom) bahawa Abdul Taib tidak mempunyai alasan untuk mengambil tindakan saman itu adalah tidak berasas selain ia bukan menyalahgunakan proses mahkamah.

Dengan keputusan itu, beliau memerintahkan Mkini Dotcom membayar kos RM10,000 kepada Abdul Taib.

Bagaimanapun tiada tarikh bicara atau pengurusan kes ditetapkan oleh hakim tersebut hari ini.

Pada prosiding tersebut, Mkini Dotcom diwakili oleh peguam, K. Shanmuga manakala Yee Mei Ken mewakili Abdul Taib.

Pada 2007, Abdul Taib memfailkan saman berkenaan setelah portal berita secara dalam talian itu menyiarkan 12 artikel dari 6 April hingga 3 Mei 2007, yang didakwa mengandungi perkataan yang memfitnah beliau.

Dalam pernyataan tuntutannya, Abdul Taib menamakan Mkini Dotcom dan Ketua Pengarang Malaysiakini, Gan Diong Keng atau dikenali dengan nama Steven Gan, sebagai defendan.

Beliau mendakwa, artikel berkenaan berbaur fitnah apabila mengaitkan beliau dengan pengumpulan wang secara tidak sah berjumlah RM32 juta melalui kegiatan yang bercanggah dengan undang-undang berhubung perniagaan balak di Sarawak dan boleh didakwa kerana melakukan jenayah.

Abdul Taib berkata, beliau telah meminta peguamnya mengeluarkan surat tuntutan kepada defendan, tetapi mereka gagal berbuat demikian dan enggan memenuhi syarat surat berkenaan.

Beliau menuntut ganti rugi umum dan teruk, faedah, kos serta relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Dalam pernyataan pembelaan, defendan berkata, perkataan yang terkandung dalam artikel berkenaan disiarkan berdasarkan perlindungan bersyarat.

Defendan berkata, plaintif telah memperaku penerbitan artikel berkenaan dengan menyebut semula perkataan dan perkara yang menjadi sungutan itu dengan membuat kenyataan secara peribadi kepada Dewan Undangan Negeri Sarawak pada 14 Mei 2007.

Mereka mendakwa, pernyataan peribadi beliau itu kemudiannya disiarkan secara penuh oleh akhbar yang mempunyai liputan meluas di Sarawak, The Borneo Post pada 15 Mei 2007.

No comments:

Post a Comment

Followers