Kamek blogger Sarawak WELCOME TO MY BLOG, Kamek Blogger Sarawak
Share |

Najib janji terus bela masa depan rakyat Sarawak

Tugas, jarak tak halang PM kunjungi seluruh Bumi Kenyalang

"SAYA nampak gembira....tentu ada alasannya. Orang di sini sangat ikhlas terutama di pekan kecil, bila saya bersalam dengan mereka, mereka sangat menghargainya. Di satu tempat saya salam bapa dulu baru salam anak. Orang tua pun peluk saya... kehadiran saya terasa sangat dihargai."
Itu kata-kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika bersembang dengan penulis dan seorang lagi rakan media, sebelum mengadakan sidang media di Sadong Jaya, kelmarin. Jelas kepenatan berkempen dengan jadual yang sangat padat menjelang Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-10 hari ini, tidak begitu terasa dengan keikhlasan sambutan penduduk, menyebabkan Najib cukup terharu.
Malah Najib mengakui sambutan meriah penduduk Sarawak walau di mana beliau pergi, menaikkan lagi semangatnya untuk terus membantu dan membela nasib semua kaum di Sarawak.

Baginya, sebagai Perdana Menteri bagi seluruh Malaysia termasuk Sarawak, menjadi tanggungjawab beliau untuk memastikan tiada satu pun kaum dan kawasan di Sarawak terpinggir daripada arus perdana pembangunan, selari pendekatan 1Malaysia yang beliau perjuangkan.

Tidak hairanlah Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu cuba untuk meliputi banyak kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam siri kempennya, walaupun tidak dapat ke semua 71 kawasan DUN.

Kelmarin, Perdana Menteri ke Telang Usan, Marudi, Bario, Ba'kelalan, Bukit Sari, Batu Danau dan bandar Miri yang mempunyai tiga kerusi – Piasau, Pujut dan Senadin. Sebelum itu, Perdana Menteri ke Sebuyau, Sadong Jaya, Bau, Padungan, Pantai Damai, Demak Laut, Kalaka, Krian, Beting Maro, Saribas, Simanggang, Batang Ai, Engkelili dan Satok.
Begitu juga Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang melawat hampir seluruh pelosok negeri ini termasuk DUN Batu Lintang, Samariang, Tupong, Balingian, Dudong, bandar Sibu, Jepak, Kemena, Lambir, Meradong, Ngemah, Nangka, Opar, Kedup, Pending dan Samariang.

“Kita boleh serah kepada rakyat Sarawak untuk berkempen, tak payah saya turun, tak payah Timbalan Perdana Menteri pun turun, Menteri-Menteri Persekutuan pun turun.

“Kita boleh anggap ini sebagai urusan Sarawak saja tetapi kalau kita melakukan itu, bermakna kita menidakkan satu prinsip besar dalam urusan negara bangsa kita, yakni maju mundur Sarawak adalah tanggungjawab Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri.

“Sebab itu saya mengambil keputusan meskipun saya mempunyai banyak tugas sebagai Perdana Menteri, tapi saya juga Perdana Menteri kepada rakyat Sarawak dan saya perlu datang. Saya berjanji kepada rakyat Sarawak, saya akan terus membela masa depan rakyat Sarawak supaya maju seiring dengan rakyat di negeri-negeri lain,” kata Najib.

Dengan sokongan dan jaminan diberikan Najib dan Muhyiddin dalam siri kempen di seluruh Sarawak sehingga semalam, beberapa kawasan kelabu sebelumnya sudah bertukar putih.

Difahamkan setakat malam tadi, 28 kawasan majoriti pengundi Melayu/Melanau termasuk enam kawasan dikategorikan sebagai kelabu sebelumnya, sudah bertukar putih, namun seluruh jentera BN perlu bekerja lebih kuat bagi mempertahankan kawasan terbabit.

Bagi 19 kawasan majoriti Iban, hanya dua kawasan dianggap masih sengit dengan kedudukan 50-50 iaitu DUN Meluan dan Pelagus, masing-masing diwakili calon BN dari Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) dan Parti Rakyat Sarawak (PRS).

Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dijangka tidak berdepan masalah mengulangi rekod cemerlang menang 100 peratus di semua 35 kerusi ditandinginya, meskipun ada sedikit masalah di beberapa kawasan.

Di sebalik pelbagai isu dan janji berdegar-degar pembangkang sepanjang kempen, BN juga dijangka dapat mengekalkan semua enam kawasan majoriti Bidayuh yang terletak di luar bandar kerana BN masih diyakini sebagai satu-satunya parti yang mampu membawa perubahan dan pembangunan ke kawasan mereka.

Bagi tiga kawasan majoriti Orang Ulu, satu-satunya kawasan yang masih kelabu ialah Ba'kelalan, namun kunjungan Najib ke situ untuk meninjau dan mendengar taklimat mengenai projek Jiwa Murni di Buduk Nur, Ba'Kelalan kelmarin diharap dapat membantu memutihkan keadaan.

Apa yang pasti Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mempertaruhkan Pengerusi PKR negeri, Baru Bian di Ba'kelalan, mahu memastikan ‘bakal Ketua Menteri kerajaan angan-angan pembangkang’ itu menang dengan PKR memfokuskan sebahagian besar jenteranya berkempen di situ.

PKR juga menumpukan kempen di kawasan Saribas menyaksikan Setiausaha PKR Sarawak, Abang Zulkifli Abang Engkeh bertanding menentang calon muka baru BN dari PBB, Ricky @ Mohamma Razi Sitam, namun sehingga semalam keadaan di situ masih memihak kepada BN.

Bagi 15 kawasan DUN majoriti pengundi Cina, BN dijangka mampu mempertahankan DUN Dudong, Senadin, Bawang Assan dan Batu Kawa, tetapi saingan di Piasau dan Pujut sangat sengit.

Sentimen kuat pembangkang yang menggunakan kempen berbau perkauman dan memainkan isu agama selain menghentam peribadi pemimpin, kemungkinan akan membolehkan DAP menambah kerusinya daripada enam kerusi pada 2006, kepada sembilan hingga 11 kerusi.

BN dilihat mampu mengulangi kemenangan dua pertiga, meskipun pembangkang terutama DAP dan PKR sanggup menghalalkan cara dan menggunakan pelbagai taktik kotor untuk menghasut rakyat.

Selepas dihidangkan pelbagai janji dan jaminan termasuk manifesto BN yang bertemakan ‘Jaminkan Masa Hadapan Anda Dengan BN’, kini terpulang kepada 979,796 pemilih berdaftar di 71 kawasan DUN menentukan nasib dan masa depan mereka dengan 18,363 pemilih pos sudah pun menunaikan tanggungjawab masing-masing Rabu lalu.

Bagi Najib, beliau yakin BN kini berada pada landasan kemenangan dan Insya-Allah akan dapat membentuk semula kerajaan di Sarawak menjelang tengah malam ini.

“Kita memang mengharapkan kemenangan dua pertiga, sebab itu akan memberi peluang untuk kita mewujudkan kerajaan yang kuat, kukuh dan stabil,” katanya sambil menambah sasaran utama BN adalah untuk membentuk kerajaan.

Pengundi di Sarawak harus membuat pertimbangan secara rasional dan tidak terlalu mengikut emosi, jangan sampai ‘menang sorak, kampung tergadai’.

No comments:

Post a Comment

Followers